Kursus Pembinaan Item dan Analisis Item 2009.

Oleh : Mohd Syuhaidi Abu Bakar

BANDAR PENAWAR: Menyeronokkan! Itulah gambaran yang wajar diwar-warkan kepada umum tentang Kursus Pembinaan Item dan Analisis Item anjuran Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP) yang telah diadakan di Hotel Avillion Legacy, Melaka Bandaraya Bersejarah pada 22 hingga 24 Mei yang lalu.

Kursus ini telah dirasmikan oleh Pengetua SSBP, En. Wan Ibrahim Wan Chik; wakil kepada Pengarah Bahagian Sukan Seni dan Kokurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia; En. Jame Alip, yang kemudian menyampaikan beberapa amanat kepada para peserta.

Dalam kursus ini, peserta telah diberikan peluang untuk berkongsi pengetahuan bersama pensyarah jemputan; iaitu Haji Kamaruzaman Moidunny daripada Institut Aminuddin Baki Genting Highlands.

Kursus yang dihadiri oleh 33 guru SSBP dari pelbagai opsyen itu memberikan peluang kepada peserta untuk didedahkan kepada konsep pembinaan item soalan panitia secara berkesan selain bertujuan untuk memantapkan keyakinan ahli organisasi dalam membina item soalan.

Penekanan terhadap analisis item, kepimpinan intruksional dan pembangunan andragogi yang menjadi intipati pengajian selama dua hari itu ternyata telah memberikan kesan yang positif kepada peserta yang kemudian telah memanfaatkan ilmu dalam membezakan item yang baik dan lemah menggunakan Kesahan (Validity) dan Kebolehpercayaan (Reliability).

Semoga kursus sedemikian akan diteruskan dari masa ke semasa kerana banyak manfaatnya untuk barisan guru akademik.











Selamat Kembali, Pak Wan!

BANDAR PENAWAR, 17 APRIL 2009 - Bagaikan sirih pulang ke gagang, begitulah umpama kembalinya En. Wan Ibrahim Wan Chik, atau lebih disenangi dengan panggilan Pakwan yang kembali ke Sekolah SUkan Bandar Penawar (SSBP) setelah lebih 3 tahun meninggalkannya.

Berkuatkuasa pada 1 April 2009 lalu, En. Wan Ibrahim bin Wan Chik telah ditugaskan untuk bertugas sebagai pengetua SSBP yang ke-5 bagi menggantikan Tuan Haji Jamaluddin bin Hj. Md. Said yang telah dinaikkan pangkat ke Bahagian Sukan, Seni dan Ko-Kurikulum di Putrajaya.

En. Wan Ibrahim Wan Chik merupakan Pengetua Cemerlang dengan gred DG52 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sentosa, Kuala Lumpur telah mendapat mandat daripada Kementerian Pelajaran untuk meneruskan kecemerlangan beliau di SSBP. Semasa ucapan sulung beliau inginkan semua kakitangan bekerjasama dalam mencapai visi dan misi sekolah demi kecemerlangan atlet. Beliau akan meneruskan usaha untuk memajukan sukan tanahair.

Tahniah kepada Pak Wan dan semoga niat murni beliau akan mendapat sokongan daripada semua pihak.